[VIDEO] Russia Uji Dron Terbarunya “S-70 Okhotnik” Di Syria

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan media Russia baru-baru ini mengatakan negara itu telah menempatkan pesawat tanpa pemandu (UAV) terbarunya “S-70 Okhotnik” atau “Hunter” di Syria, berkemungkinan untuk tujuan ujian oleh pihak tentera negara itu.

UAV “Okhotnik” itu dikatakan ditempatkan di pangkalan tentera Russia di Tiyas, yang terletak di Palmyra. Pangkalan di Tiyas itu pernah digunakan oleh tentera Iran terutamanya Pengawal Revolusi Iran.

Laporan media turut mengatakan tentera Russia telah menjadikan Syria sebagai lapangan untuk menguji kemampuan UAV terbaru negara itu sejak beberapa tahun lepas, tetapi pihak media hanya melaporkannya baru-baru ini.

Selain “Okhotnik”, Russia turut menempatkan pesawat tanpa pemandu “Orion-E” di Syria bagi membantu tenteranya memerangi kumpulan militan ISIS dan mempertahankan kedudukan Presiden Bashar al-Assad. UAV “Orion-E” seringkali dikatakan adalah jawapan Russia kepada dron “Predator” yang digunakan secara meluas oleh tentera Amerika Syarikat.

Dron “Okhotnik” sebagai “loyal wingman” kepada pesawat pejuang Su-57.

Dron “Orion-E”dikatakan mampu membawa empat butir bom/peluru berpandu panduan laser.

Sementara itu, “Okhotnik” yang dikatakan akan memainkan peranan sebagai “loyal wingman” kepada pesawat Su-57 dan pesawat-pesawat lain, memiliki rekabentuk yang hampir sama sebagaimana program dron “Sentinel” dan “X-47” oleh syarikat Northrop Grumman pada awal tahun 2000.

Pada awal tahun ini, media tempatan Russia melaporkan dron terbaru Russia itu telah berjaya mengugurkan bom seberat 500 kilogram terhadap sasaran di Ashuluk yang terletak di Astrakhan di Russia.

Russia menjangkan ia akan mula mengoperasikan “Okhotnik” pada 2024.

Okhotnik ini merupakan dron jarak jauh kerana ia berupaya terbang sejauh lebih 3,300 batu dan membawa sehingga enam tan bom dan peluru berpandu.

Setiap sebuah “Okhotnik” mempunyai berat sehingga 20 tan atau bersamaan dua buah pesawat F-15.

— DEFENCE SECURITY ASIA

DronOkhotnikOrion-ERussiaSyriaUAV
Comments (0)
Add Comment