Filipina Terima Kapal Friget Kedua “Antonio Luna”

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kapal friget kedua kelas-Jose Rizal Tentera Laut Filipina, “Antonio Luna” telah tiba di Filipina selepas pelayaran yang memakan beberapa hari daripada limbungan kapal milik Hyundai Heavy Indutries yang bertanggungjawab membinanya di Korea Selatan.

Kapal friget “Antonio Luna” akan menyertai kapal friget pertama Filipina “BRP Jose Rizal” yang telah tiba di negara itu pada May 2020 dan ditauliah pada Julai 2020.

Filipina menandatangani kontrak perolehan kedua-dua kapal friget itu dianggarkan bernilai US$311 juta daripada Korea Selatan pada 2016 dan kira-kira empat tahun tahun selepas itu, Manila telah menerima kedua-dua friget itu mengikut jadual.

Malah, Filipina menerima “Antonio Luna” itu sebulan lebih awal, berbanding kita yang menandatangani perjanjian perolehan enam buah kapal LCS (Littoral Combat Ship) pada 2011 dan sehingga kini (hampir 10 tahun selepas itu) negara masih gagal melihat sebuah LCS berada di atas air. Kontrak dah dekat 10 tahun tetapi sehingga kini sebuah kapal LCS masih gagal kelihatan.

Tinggal kenangan ….kapal LCS TLDM

TLDM masih ternanti-nanti kapal perang yang digembar-gemburkan sebagai “paling moden dirantau ini.”

Ok berbalik kepada “Antonio Luna”, kapal friget tentera laut Filipina itu direkabentuk mengikut Incheon Frigate Tentera Laut Korea Selatan walaupun saiznya lebih kecil.

Ia memiliki berat 2,600 tan dan panjang 107 meter.

“Antonio Luna” bakal dilengkapi dengan empat pelancar peluru berpandu SSM-700K Haeseong/C-Star, SIMBAD-RC short range SAM dan meriam 76mm.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Antonio LunaFilipinaFrigetHyundaiJose Rizal