TLDM Bakal Terima Tiga Buah Helikopter Maritim Mulai Tahun Depan

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima tiga buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) secara berperingkat bermula tahun depan, menurut panglimanya Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Kontrak pembelian tiga buah helikopter itu ditandatangani pada 2 Sept 2020.

Helikopter AS139 yang digunakan oleh Bomba.

Bercakap pada majlis penyampaian perutusan hari ini, beliau berkata, helikopter operasi maritim pertama TLDM itu akan diterima pada 30 Oktober 2022, kedua pada 31 Mei 2023 dan ketiga pada 28 Februari 2024.

Helikopter Agusta Westland AW139 dikhabarkan adalah pilihan TLDM bagi HOM. Helikopter terbabit turut digunakan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia. Ia mempunyai berat 6.4 tan dan menggunakan enjin 2 x Pratt & Whitney PT6C-67C Turboshafts with FADEC. Dengan krew dua orang , helikopter yang boleh terbang selaju 300km sejam ini mampu membawa 15 orang penumpang dan boleh terbang sejauh 1,061km atau lebih 5 jam.

Helikopter AW139 yang digunakan oleh tentera negara asing.

Selain itu, Panglima TLDM juga berkata, angkatan itu telah menerima enam buah “ScanEagle” UAS (Unmanned Aerial System) daripada 12 buah.

Baki enam buah lagi ScanEagle buatan syarikat Insitu daripada Amerika syarikat itu akan diterima pada Jun ini.

TLDM menurutnya, juga dijangka menerima baki dua lagi Kapal Misi Pesisir (LMS) pada Ogos serta November, tahun ini.

LMS pertama (KD Keris) telah menyertai Armada TLDM pada 17 Jan bagi melaksanakan tugas rondaan dan pengawasan maritim, manakala LMS kedua (Sundang) baru diterima pada 14 Jan.

Beliau juga memaklumkan sebanyak RM2.9 bilion diperuntukkan tahun ini buat TLDM, iaitu peningkatan sebanyak RM164 juta (5.96 peratus) berbanding tahun lepas.

“Daripada jumlah berkenaan, RM1.683 bilion diperuntuk bagi Belanja Mengurus dan RM1.233 bilion untuk Belanja Pembangunan,” katanya.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Helikopter AW139Littoral Mission ShioScanEagleTentera Laut Diraja MalaysiaUAS
Comments (0)
Add Comment