Polis Tahan Suami Isteri, Rampas Raifal AK-47 Dakwa Utk Tembak Gajah

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Bahagia, Kuala Krai dan menahan sepasang suami isteri serta merampas selaras senjata api jenis AK-47 bersama 142 butir peluru Ahad lepas, sebagaimana dilaporkan hari ini oleh agensi berita nasional, Bernama.

Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata sepasukan anggota melakukan serbuan terhadap rumah terbabit pada 3.10 pagi hasil maklumat daripada orang awam.

Hasil daripada serbuan polis telah menahan pasangan suami isteri berumur 50 tahun itu dan menemui sepucuk senjata api jenis AK-47 bersama 142 butir peluru iaitu 16 butir peluru 5.56 mm dan 126 butir peluru penabur 12 Bore selepas memeriksa rumah pasangan itu.

Kedua-dua individu yang ditahan adalah penduduk tempatan di situ. Siasatan awal suspek mengaku memiliki senjata api itu sejak lima tahun lepas yang diberikan oleh seorang lelaki berasal dari Tanah Merah. Suspek mendakwa senjata api itu digunakan bagi menembak haiwan liar seperti gajah yang sering memasuki kebun getahnya. Setakat ini, suspek mengaku sudah menembak dua ekor gajah dengan senjata api itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Pasangan berkenaan kata beliau ditahan polis kerana kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen atau permit.

Kali terakhir senjata itu digunakan adalah dua tahun lepas.

Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara, denda dan sebatan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat

“Ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-duanya adalah negatif dadah.

“Polis juga akan menyiasat lebih lanjut termasuklah mengesan lelaki Cina dikenali sebagai ‘Su’ yang memberikan senjata itu serta membekalkan peluru dengan harga RM15 sebutir,” katanya.

Shafien berkata kedua-dua suspek ditahan reman selama seminggu bermula 13 Dis ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes juga akan dirujuk kepada Jabatan Perhilitan Kelantan berkaitan pengakuan suspek yang menembak gajah.

— DEFENCE SECURITY ASIA

AK-47GajahKelantanKuala KraiPolisSenjata