[Video] HMS Queen Elizabeth Ke Laut China Selatan Tahun Depan

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam langkah yang bakal memuncakkan lagi ketegangan di Laut China Selatan, Tentera Laut Diraja British (RN) akan mengerahkan kapal perang terbesarnya iaitu “HMS Queen Elizabeth” ke Asia Pasifik tahun depan.

Untuk pengetahuan semua, HMS Queen Elizabeth adalah kapal pengangkut pesawat terbaharu dan paling moden RN (Royal Navy).

Memiliki berat sebanyak 65,000 tan, HMS Queen Elizabeth yang dianggarkan bernilai US$3.9 billion boleh membawa sehingga 35 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning terdiri daripada satu skuadron Tentera Udara British dan satu skuadron United States Marine Corps (USMC).

Kapal pengangkut pesawat RN itu juga akan membawa helikopter dan pesawat peninjau yang lain.

HMS Queen Elizabeth. (kredit internet)

Adik HMS Queen Elizabeth iaitu “HMS Prince of Wales” dijangka akan memulakan operasi pada 2023.

Menurut laporan media, kunjungan HMS Queen Elizabeth ke Asia Pasifik tahun depan merupakan pergerakan flotilla kapal perang terbesar Tentera Laut Diraja British ke Asia sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Selain kapal pengangkut pesawat itu, ia akan turut diringi oleh di antara lapan hingga sembilan buah kapal termasuk kapal selam berkuasa nuklear.

HMS Queen Elizabeth ini akan diiringi oleh dua buah kapal friget, dua buah kapal destroyer, kapal-kapal sokongan, kapal selam nuklear serta kemungkinan sebuah kapal daripada negara Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pesawat F-35B mendarat di atas dek HMS Queen Elizabeth. (kredit internet)

Baru-baru ini, telah diadakan satu dress rehearsal pelayaran Carrier Strike Group (CSG) HMS Queen Elizabeth ke Asia Pasifik.

Apa yang pasti, HMS Queen Elizabeth ini akan singgah di Asia Tenggara, dengan tumpuannya terhadap persinggahan di tiga buah negara Komanwel iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei.

Ketika di Asia Tenggara, HMS Queen Elizabeth dijangka akan terlibat sama di dalam perayaan sambutan 50 tahun Five Power Defence Arrangement (FPDA).

HMS Queen Elizabeth. (kredit internet)

Sama ia akan singgah di Lumut atau Pelabuhan Kelang, kita mengalu-alukan kedatangan HMS Queen Elizabeth untuk mengeratkan lagi hubungan ketenteraan di antara Malaysia dan United Kingdom serta TLDM dan RN.

HMS Queen Elizabeth menurut laporan media, juga akan mengadakan latihan di bawah FPDA bersama-sama tentera negara anggota (Malaysia, Singapura, UK, Australia dan New Zealand) ketika berada di Asia Tenggara.

Mungkin FONOP (Freedom of Navigation Operation) akan menjadi perhatian CSG HMS Queen Elizabeth.

Pesawat F-35B USMC di atas HMS Queen Elizabeth. (kredit Twitter)

Kemungkinan CSG HMS Queen Elizabeth dijangka juga akan mengadakan latihan tentera laut di Laut China Selatan bersama-sama kapal-kapal perang negara Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara sekutu Barat yang lain.

Mungkin USS Ronald Reagan atau kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear Tentera Laut Perancis, “Charles de Gaulle” akan turut sama di dalam latihan itu di Laut China Selatan pada tahun depan itu.

Jika itu terjadi, ia adalah suatu spectacle yang menakjubkan di Laut China Selatan apabila tiga atau empat kapal pengangkut pesawat berhimpun di perairan yang turut dituntut sama oleh negara China.

Kapal pengangkut Perancis “Charles de Gaulle.” (kredit internet)

Kapal pengangkut “Charles de Gaulle” boleh membawa 18 buah pesawat pejuang Rafale, helikopter dan aset tentera yang lain.

Pada tahun lepas, kapal pengangkut tunggal tentera laut Perancis singgah di Singapura, di mana negara itu melaungkan kesediannya untuk beroperasi di Indo Pasifik.

Ini kerana Perancis memiliki beberapa pulau jajahan di Indo-Pasifik.

— DEFENCE SECURITY ASIA

2022Asia PasifikFPDAHMS Queen ElizabethRoyal Navy