Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Dua Anggota Polis Filipina Terbunuh Dalam Insiden “Friendly Fire” Dengan Unit Anti-Dadah

0 104

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua anggota polis Filipina terbunuh dalam insiden berbalas tembak dengan sekumpulan anggota agensi pencegahan dadah negara itu yang sedang operasi penyamaran (undercover) di bandar Quezon City.

Selain dua anggota polis yang terbunuh, tiga anggota agensi pencegahan dadah turut mengalami kecederaan dalam drama tembak-menembak yang berlangsung selama beberapa minit dan dirakam oleh orang ramai.

(Rakaman insiden berbalas-tembak antara anggota polis Filipina dengan unit pencegahan dadah di Quezon City – kredit South China Morning Post)

Kejadian dikatakan bermula apabila anggota polis daripada unit khas polis di Quezon City melakukan operasi pencegahan dadah di kawasan letak kereta sebuah restoran makanan segera sebelum terserempak dengan anggota agensi pencegahan dadah yang sedang menyamar.

Kejadian selepas itu agak samar-samar, tetapi apa yang menyusul selepas pertembungan itu adalah insiden berbalas tembak yang sengit antara kedua-dua anggota pasukan penguatkuasa Filipina yang menyebabkan dua anggota polis terbunuh. Pihak Biro Siasatan Filipina sedang melakukan siasatan tentang kejadian berdarah itu. Jurucakap agensi pencegahan dadah berkata anggota mereka sedang melaksanakan operasi di kawasan terbabit.

Quezon City

Manakala bagi pihak polis Filipina pula, ia berkata, insiden itu tidak akan menjejaskan kerjasama operasi antara kedua-dua pihak manakala jawatankuasa bersama akan menentukan pihak mana yang melakukan kesalahan.

Filipina di bawah pemerintahan Presiden Rodrigo Duterte telah melancarkan operasi anti-dadah,mengakibatkan ribuan penagih dan pengedar mati di dalam operasi-operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...