Airbus SE Sahkan Penyertaannya Dalam Tender Bekal MPA Pada TUDM

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Konglomerat pengeluar pesawat Eropah, Airbus SE mengesahkan penyertaannya dalam tender Pesawat Peronda Maritim (MPA) untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan menawarkan pesawat C295MPA.

Ketua Pertahanan dan Angkasa Airbus, Asia Tenggara Johan Pelissier berkata pesawat C295MPA adalah pilihan yang tepat yang memenuhi keperluan MPA TUDM.

Pesawat C-295MPA

Pesawat keluaran Airbus itu adalah satu-satunya MPA dalam kategorinya yang masih berkhidmat pada ketika ini.

“C295MPA adalah program pesawat yang terbukti dan rujukan global dalam pengawasan maritim yang menawarkan risiko terendah, namun pemerolehan, operasi dan kos kitaran hayat yang terbaik dalam kategorinya, yang paling sesuai untuk Malaysia,” katanya pada taklimat media secara maya hari ini.  Menurut Pelissier, Brazil, Kanada, Chile, Oman dan Portugal telah menggunakan C295MPA dengan jayanya.

Pesawat C-295MPA

Pesawat C295MPA menjalankan pelbagai operasi di seluruh dunia dalam semua keadaan cuaca.

Ia boleh beroperasi siang dan malam dalam misi pertempuran dalam semua keadaan cuaca yang melampau, dari padang pasir hingga persekitaran maritim, daripada suhu yang amat panas hingga amat sejuk.

Faktor penting kepada keupayaan meronda dan pengawasan C295 yang unik ialah sistem taktikal bersepadu sepenuhnya (FITS), yang menyepadukan, mengawal dan memaparkan sensor misi — meningkatkan kesedaran misi dan memudahkan untuk membuat keputusan.

Selain MPA Airbus, pesawat lain berminat untuk menyertai tender TUDM bagi pesawat MPA itu termasuklah Leonardo ATR-72MPA, Boeing P-8A Poseidon, Kawasaki P-1 dan PTDI CN-235MPA.

— DEFENCE SECURITY ASIA

AirbusC295MPAMalaysiaTUDM
Comments (0)
Add Comment