The news is by your side.

Anggota Abu Sayyaf Maut Di Sulu Bukan Dalam Senarai Dikehendaki Polis M’sia

3

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak keselamatan di Sabah mengesahkan salah seorang anggota kumpulan militan Abu Sayyaf yang ditembak m4ti oleh polis Filipina dalam operasi di Panamao di Kepulauan Sulu semalam bukan dalam senarai dikehendaki oleh pihak berkuasa negara ini.

Komander Kawasan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman berkata anggota kumpulan militan Abu Sayyaf yang ditembak m4ti itu dalam operasi polis Filipina di Sitio Buton, Barangay Kansipat, Panamao dikenali sebagai Wahid Sahid.

Abu Sayyaf
Anggota polis melihat mayat anggota Abu Sayyaf itu.

Wahid Sahid menurut beliau ketika dihubugi oleh stesen TV satelit ASTRO Awani, adalah pengikut Al Munjir Yadah, salah seorang daripada 21 individu yang dikehendaki kerana terlibat dengan aktiviti jenayah rentas sempadan dan penculikan di Sabah.

“Belum ada rekod atau maklumat suspek Wahid Sahid ini pernah memasuki atau pernah terbabit di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone). Namun hasil risikan dan maklumat suspek ini adalah pengikut kepada Al Munjir yang disenaraikan antara 21 individu yang dikehendaki ESSCom kerana mempunyai kaitan atau terbabit dalam jenayah rentas sempadan serta penculikan,” katanya.

SEnjata
Senjata yang dipercayai mahu dijual oleh anggota Abu Sayyaf itu.

Ahmad Fuad berkata, pihaknya akan memperketatkan kawalan keselamatan di sepanjang perairan di Sabah susulan kejadian itu serta meningkatkan aktiviti risikan untuk memastikan anggota kumpulan Abu Sayyaf ini tidak memasuki perairan negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Filipina Jeneral Debold Sinas berkata anggota Abu Sayyaf yang terbunuh itu terlibat dalam aktiviti penyeludupan senjata serta berkemungkinan sedang merancang untuk melakukan penculikan.

“Operatif (polis Filipina) berjaya menggagalkan kemungkinan berlakunya penculikan oleh Wahid daripada arahan daripada salah seorang pemimpin Abu Sayyaf, Al Munjir Yadah,” katanya.

Wahid kata ketua polis Filipina itu terlibat dalam aktiviti penyeludupan senjata dan membekalkan senjata berkuasa tinggi kepada anggota Abu Sayyaf serta penjenayah yang terlibat dalam Kidnap-For-Ransom (KFR).

Operasi dilaksanakan selepas urusan membeli senjata dan bahan letupan antara Wahid dengan operatif polis Filipina yang menyamar sebagai pembeli senjata itu selesai.

Ketika mahu menangkap Wahid, anggota Abu Sayyaf itu menyedari perangkap polis Filipina dan melepaskan tembakan menggunakan senjata M-14 miliknya.

Pada ketika itulah menurut Polis Filipina, anggota Abu Sayyaf itu ditembak m4ti.

Debold Sinas
Ketua Polis Filipina Debold Sinas

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.