Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(Video) Turki Lancar S-400, Washington Berang

0 514

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turki dipercayai telah melancarkan peluru berpandu S-400 “Triumf”” dalam satu latihan semalam, tindakan yang mengundang kemarahan Amerika Syarikat dan rakan-rakannya di dalam NATO.

Setakat ini tentera Turki enggan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai dakwaan pelancaran peluru berpandu sistem pertahanan udara buatan Russia itu di bandar pesisiran pantai Laut Hitam di Sinop.

Bagaimanapun video dan gambar oleh oleh penduduk tempatan menunjukkan asap daripada pelancaran peluru berpandu berkenaan di ruang udara bandar Sinop.

Asap S-400
Asap daripada peluru berpandu S-400 kelihatan diruang udara bandar Sinop. (sumber Twitter)

Pegawai-pegawai Amerika Syarikat mengesahkan bahawa tentera Turki telah melancarkan peluru berpandu S-400 dalam latihan di Sinop itu semalam.

Jabatan Negara Amerika Syarikat memberi amaran pelancaran peluru berpandu itu sekiranya betul “memberikan kesan yang serius” bagi hubungan pertahanan dan keselamatan di antara kedua-dua negara.

Jurucakapnya Morgan Ortagus dalam satu kenyataan berkata, sekirannya betul Jabatan Negara Amerika Syarikat mengecam pelancaran peluru berpandu S-400 itu kerana ia adalah tidak selari dengan tanggungjawab Turki sebagai negara anggota NATO.

Rakaman video pelancaran peluru berpandu sistem pertahanan udara S-400 di bandar Sinop. (sumber Twitter)

Beliau juga berkata, pelancaran peluru berpandu itu tidak selaras dengan tanggungjawab Turki sebagai sekutu kepada Amerika Syarikat.

Beberapa jam selepas laporan media tentang tindakan Turki melancarkan peluru berpandu S-400 mula tersebar, beberapa anggota kongres Amerika Syarikat telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden Donald Trump mengenakan sekatan ekonomi terhadap Ankara.

Turki berhadapan dengan sekatan ekonomi oleh Washington berdasarkan Countering America’s Adversaries Through Sanction Acts (CAATSA) kerana membeli sistem persenjataan daripada pihak yang dianggap sebagai musuh Amerika Syarikat.

Washington juga mengugurkan Turki daripada program F-35 berikutan keputusannya membeli S-400 itu.

Presiden Recep Tayyep Erdogan memilih untuk membeli sistem S-400 selepas usahanya untuk mendapatkan sistem pertahanan udara “Patriot” gagal.

S-400
Sistem S-400 Turki apabila ia mula-mula tiba di Turki tahun lepas. (sumber internet)

Turki sepatutnya telah pun dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat sejurus selepas ia membeli S-400 itu pada 2017, tetapi Presiden Trump melengahkan tindakan sekatan itu dengan syarat Ankara tidak mengoperasikan sistem itu.

Amerika tidak akan mengenakan sekatan ekonomi selagi peluru berpandu itu berada di dalam “kotak.”

Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg ketika melawat Turki awal bulan ini berkata Turki tidak boleh mengintegrasikan sistem pertahanan udara S-400 miliknya itu ke dalam jaringan sistem pertahanan udara NATO.

Penganalisis pertahanan barat bimbang jika S-400 diintegrasikan dengan jaringan sistem pertahanan udara NATO, ia hanya akan membocorkan rahsia tentang jaringan sistem itu kepada pihak perisikan Russia.

S-400
Sebab mengapa sistem S-400 amat ditakuti oleh pihak musuh Turki. (grafik oleh AP dan Army Technology)

Turki membelanjakan US$2.5 billion untuk mendapatkan S-400, yang berkemampuan menembak peluru berpandu ballistik dan pesawat pejuang daripada jarak maksimum 400km.

Radar S-400 mampu mengesan sasara sehingga 600km.

Ankara mula menerima sistem S-400 itu tahun lepas dan merancang untuk mengujikajinya April tahun ini tetapi ditangguhkan.

Sistem S-400 milik Turki itu juga menggusarkan musuh ketat di rantau Mediterranean, Greece.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...