Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Malaysia Akan Tanggung Akibatnya,” Kata Konsul Korea Utara Sebelum Meninggalkan Negara Ini

"Pihak berkuasa Malaysia akan memikul sepenuhnya tanggungjawab terhadap kesan yang bakal dihadapi akibat daripada tindakannya susulan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara," kata Yu Song

0 5,614

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebelum meninggalkan Kuala Lumpur untuk pulang ke Korea Utara, konsul kedutaan negara itu,  Kim Yu Song sempat melaungkan amaran keras terhadap Malaysia berhubung tindakannya mengekstradisi rakyat negara itu ke Amerika Syarikat.

Bercakap kepada media sebelum meninggalkan bangunan kedutaan itu, beliau berkata, Malaysia akan menerima akibatnya.

Kim Yu Song
Konsulat Korea Utara di Malaysia Kim Yu Song ketika di KLIA sebelum menaiki penerbangan untuk kembali ke negara asalnya. (gambar Bernama)

“Kejadian ini adalah hasil nyata daripada konspirasi anti Korea Utara yang dibuat dari dasar keji oleh Amerika Syarikat (AS).

“Kami tidak berpuas hati dengan tindakan meletakkan warganegara kami yang tidak bersalah dan secara membuta tuli berpihak kepada musuh utama negara kami.

“Pihak berkuasa Malaysia akan memikul sepenuhnya tanggungjawab terhadap kesan yang bakal dihadapi akibat daripada tindakannya susulan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Bukit Damansara hari ini.

Yu Song berkata, tindakan Malaysia mengekstradisi seorang warga Korea Utara itu telah menghancurkan seluruh asas hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Utara yang dibina atas dasar kedaulatan.

Kesemua pekerja kedutaan dan juga ahli keluarga mereka yang dianggarkan seramai 30 orang itu telah keluar dari pekarangan bangunan bersama dengan menaiki sebuah bas, manakala Yu Song dilihat menaiki sebuah kenderaan berwarna putih.

Difahamkan, kumpulan tersebut akan menggunakan penerbangan transit Shanghai Airlines ke Pudong, China pada 4.10 petang tadi sebelum ke ibu negara Korea Utara, Pyongyang.

Malaysia pada Jumaat mengarahkan kakitangan kedutaan Korea Utara dan tanggungan mereka di Kuala Lumpur supaya meninggalkan negara ini di dalam tempoh 48 jam bermula hari ini, sebagai reaksi terhadap keputusan Pyongyang memutuskan hubungan diplomatik dengan negara ini.

Kedutaan KORUT
Bendera Korea Utara telah diturunkan daripada bangunan kedutaan manakala plak ditanggalkan daripada dinding kedutaan menandakan kedutaan Korea Utara tidak lagi beroperasi di negara ini. (gambar Bernama)

Arahan itu dinyatakan oleh Wisma Putra dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Wisma Putra menyatakan ia amat kesal dengan tindakan Pyongyang memutuskan hubungan dengan Kuala Lumpur.

“Malaysia mengecam keputusan itu yang disifatkan sebagai tidak wajar, tidak membina dan tidak menghormati hubungan baik sesame masyarakat antarabangsa,” kata kenyataan hari ini.

Pyongyang bertindak memutuskan hubungan dengan Malaysia berhubung tindakan mahkamah di Kuala Lumpur memerintahkan seorang warga Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Pengumuman mengenai tindakan memutuskan hubungan dengan Malaysia itu dilakukan oleh agensi berita rasmi Korea Utara rasmi, KCNA.

Menurut agensi terbabit di dalam satu kenyataan,  Malaysia telah “melakukan jenayah yang tidak boleh dimaafkan dengan memaksa penghantaran pulang rakyatnya yang tidak bersalah ke Amerika Syarikat.”

Seorang lelaki Korea Utara akan diekstradisi dari Malaysia untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat (AS) selepas gagal dalam rayuan terakhir untuk mencabar perintah ekstradisi terhadapnya.

Mun Chol Myong, yang tinggal di Asia Tenggara selama sedekad bersama keluarganya, ditangkap pada 2019 berikutan permohonan ekstradisi oleh Washington.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...