Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal LMS TLDM Pula Berdepan Masalah?

0 7,039

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menerima kapal Littoral Mission Ship (LMS) yang pertama daripada empat dipesannya daripada China pada awal Januari lepas.

Bagaimanapun hanya beberapa bulan selepas menerimanya, TLDM telah pun mengesan beberapa kerosakan (deficiencies) pada KD Keris (LMS 111) yang baru diterimanya daripada China itu dan sedang berusaha untuk mengatasi masalah-masalah terbabit.

TLDM sebagaimana didedahkan oleh majalah pertahanan antarabangsa, Janes, sedang berbincang dengan beberapa kontraktor di dalam usaha mereka untuk menyelesaikan permasalahan yang sedang berlaku itu.

Mereka juga berusaha untuk memastikan masalah yang sama tidak dihadapi oleh tiga buah kapal LMS yang kini sedang dibina di China pada ketika ini.

Janes
Majalah pertahanan antarabangsa, Janes

Malaysia menandatangani perjanjian pembelian empat buah kapal LMS dengan China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) pada April 2017 bernilai RM1.17 billion.

Ia adalah pembelian kapal perang yang pertama daripada China kerana sebelum ini kesemua kapal-kapal TLDM sama ada dibina di limbungan kapal tempatan atau negara-negara Barat.

Menurut Janes, antara masalah yang dihadapi oleh KD Keris sebagaimana maklumat yang diberikan oleh sumber di dalam industri, adalah membabitkan sistem sensor dan sistem pengurusan kombat yang dibekalkan oleh syarikat daripada China.

LMS
Malaysia menempah empat buah kapal LMS daripada China. (sumber internet)

Menurut majalah pertahanan antarabangsa itu, kapal KD Keris yang memiliki panjang 68 meter itu dilengkapi dengan OFC-3 electro optical tracking system yang dibekalkan oleh syarikat Huazhong Institute of Electro Optics, radar permukaan dan udara daripada syarikat Nanjing Marine Radar Institute.

KD Keris menurut Janes, juga dilengkapi dengan sistem Electronic Support Measure (ESM) daripada Southwest Institute of Electronic Equipment of China.

LMS
Berdepan masalah? (sumber internet)

Kapal LMS TLDM terbabit juga dilengkapi dengan radar navigasi VisionMaster FT250 daripada Sperry Marine, yang juga menampilkan Automatic Identification System (AIS) dan Electronic Chart Display And Information System (ECDIS).

Daripada segi persenjataan pula, kapal TLDM itu dilengkapi dengan satu meriam 30mm CS/AN3 daripada Chonging Chang’an Industrial Group Limited dan  dua mesingan CS/LM6 12.7mm daripada Sichuan Huaqing Machinery Company Limited.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...