Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Mahu Duduki Lebih Banyak Kawasan Di Laut China Selatan

“Kehadiran berterusan militia maritim China di kawasan (di Laut China Selatan) menunjukkan niat sebenar mereka untuk menduduki kawasan perairan di bahagian barat negara itu,” katanya Menteri Pertahanan Filipina Delfin Lorezana.

0 1,386

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China mempunyai perancangan untuk menduduki lebih banyak kawasan di perairan Laut China Selatan, merujuk kepada kehadiran kira-kira 200 buah bot militia maritim negara itu di Julian Felipe Reef (Whitsun Reef) yang terletak di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina.

Dakwaan itu dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Filipina Delfin Lorezana.

Julian Felipe Reef

“Kehadiran berterusan militia maritim China di kawasan (di Laut China Selatan) menunjukkan niat sebenar mereka untuk menduduki kawasan perairan di bahagian barat negara itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beiijng tidak menafikan kehadiran bot-bot mereka di Julian Felipe Reef, tetapi mengatakan mereka bukan militia maritim sebagaimana disangka dan mereka cuma berada di terumbu karang itu untuk berlindung daripada cuaca buruk.

Pihak berkuasa Filipina menyatakan pada ketika ini masih terdapat 44 bot China di terumbu karang itu dan cuaca adalah baik.

“Saya bukannya bodoh. Cuaca adalah baik dan mereka tidak mempunyai sebab untuk berada di sana (Julian Felipe Reef),” katanya.

Sementara itu kedutaan China di Manila dalam satu kenyataan berkata, kehadiran bot-bot China di terumbu karang itu adalah normal untuk menangkap ikan dan berlindung daripada cuaca buruk di laut.

Julian Felipe Reef
Julian Felipe Reef

 

“Tidak ada sesiapa yang mempunyai hak untuk membuat kenyataan membuta-tuli mengenai aktiviti (bot-bot China di Julian Felipe Reef),” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kedutaan bagi membalas kenyataan oleh Menteri Pertahanan Filipina itu.

Kenyataan oleh Lorezana itu juga muncul selepas pihak tentera Filipina mengesan kehadiran tiga buah kapal perang China daripada kelas Houbei Type 022 sedang berlabuh di Mischief Reef (Panganiban Reef) yang terletak di bahagian barat Filipina.

Mischief Reef merupakan salah satu daripada terumbu karang di Laut China Selatan yang telah diduduki secara haram oleh China.

Selepas mendudukinya secara haram, China telah bertindak menambaknya dan menjadikannya sebuah “pulau buatan manusia” yang lengkap dengan kemudahan tentera seperti hangar, jeti, radar, komunikasi, landasan kapal terbang dan sistem pertahanan udara.

Pihak tentera Filipina mengesan kehadiran ketiga-tiga buah kapal serang laju Houbei bersama kapal bekalan “Dayun” di Mischief Reef  pada 29 Mac yang lalu.

Pakar maritime Filipina Dr Jay Batongbacal mengatakan kehadiran kapal-kapal serang laju Houbei di Mischief Reef itu menunjukkan kemampuan tentera laut China bukan sahaja untuk mempertahankan terumbu karang itu tetapi juga untuk melakukan serangan terhadap musuh.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...