Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Anggota PGA Maut Ditembak Di Kawasan Sempadan M’sia-Thailand

0 808

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand,dekat sini, maut akibat ditembak, awal pagi tadi, menurut laporan oleh akhbar Harian Metro sebentar tadi.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar dan mangsa yang cedera sedang dirawat di HTF dengan keadaannya dilaporkan kritikal.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji yang dihubungi oleh Harian Metro mengesahkan kejadian dan memaklumkan akan memberi maklumat lanjut selepas selepas siasatan, manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador difahamkan sedang dalam perjalanan ke Perlis bagi melawat mangsa dan meninjau keadaan semasa.

Askar
Anggota tentera juga berkawal di sempadan Malaysia berhampiran Sungai Golok. (foto internet)

Beberapa hari lepas, Polis Kedah mengesahkan berlaku kejadian tembakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand ketika anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan pada jam 6.30 pagi.

Ketika itu anggota terbabit terserempak seorang lelaki berdiri berdekatan pagar keselamatan di dalam sempadan Thailand sebelum mendengar dan ternampak percikan api sebelum lelaki itu melarikan diri dengan menaiki kenderaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hasan berkata, ketika ini dua kelongsong berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses penilaian dan siasatan lanjut.

Hamid Bador
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau juga berkata, Polis Thailand memohon melakukan pemeriksaan ke atas dua kelongsong peluru yang ditemui dalam kejadian tembakan di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Jumaat lalu.

Katanya, pihak berkuasa negara jiran terbabit membuat permohonan itu bagi membantu siasatan yang turut dilakukan mereka.

Setakat ini, itu sahaja maklumat yang diberikan oleh akhbar itu tetapi sebagaimana yang kita tahu, banyak sindiket penyeludup beroperasi di kawasan sempadan itu dan memandangkan senjatapi mudah didapati di bahagian Thailand banyak kemungkinan boleh berlaku.

Sempadan
 Anggota sedang berkawal di pagar sempadan. (foto internet/NST)

Mungkin kawalan ketat oleh anggota kita itu tidak menyenangkan pihak tertentu.

Walau apa pun, kita ucapkan takziah kepada anggota yang terbunuh.

Defence Security Asia akan membawa berita tentang kejadian ini dalam laporan berikutnya.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...