Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Terima Secara Rasmi Kapal LMS Kedua, “Sundang”

0 553

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penyerahan secara fizikal Littoral Mission Ship (LMS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia yang kedua iaitu Sundang telah dilaksanakan di Wuchuan Shipbuilding Industry Co. Ltd, Wuchang Port, Qidong di Shanghai, China hari ini.

Jawatankuasa Penerimaan Akhir yang dianggotai oleh tiga wakil kerajaan diketuai oleh Ketua Projek, Pasukan Projek LMS Kepten Abdul Hadi Tan Abdullah telah melaksanakan pemeriksaan dokumentasi dan pemeriksaan fizikal.

tldm
Gambar kredit TLDM

Mereka turut mengikuti pelayaran demonstrasi keupayaan kapal.

“Sundang telah mula dibina pada 23 Oktober 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan dan seterusnya dilancarkan isteri kepada mantan Penglima Angkatan Tentera ke 20, Puan Seri Rusnah A.Rahman pada 12 Julai 2019. Sundang pada mulanya dijadualkan untuk diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 12 April 2020 namun hanya dapat dilaksanakan hari ini susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia yang menyaksikan pembinaan Sundang terpaksa ditangguhkan pada 23 Januari tahun lepas.,” menurut kenyataan TLDM hari ini.

tldm
Gambar kredit TLDM

Tambahnya, projek tersebut diaktifkan semula pada 18 Mei tahun  lepas dan bakal warga kapal Sundang telah dihantar semula ke Qidong, Shanghai pada Oktober lepas bagi menyambung semula siri latihan penyesuaian kapal yang tertangguh.

Sundang telah berjaya melepasi beberapa siri ujian penerimaan di pelabuhan dan laut sebelum diserahkan kepada kerajaan dan dijadualkan untuk belayar pulang ke Malaysia pada minggu ketiga Januari 2021.

Kenyataan itu berkata, satu upacara pentauliahan kapal ini akan diadakan pada satu tarikh yang ditetapkan di pengkalan TLDM Kota Kinabalu oleh Panglima Tentera Laut Tan Seri Mohd Reza Mohd Sany.

LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5 TLDM dan kontrak perolehan empat buah LMS telah dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd.

Projek ini merupakan projek perolehan aset pertahanan kapital yang pertama dari negara China dan kapal ketiga dan keempat pula masing-masing dijadual diserahkan pada bulan September dan November ini.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...