Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Anggota PGA Maut Akibat Tembakan Di Perut Dan Dada….

0 678

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang terbabit dalam insiden tembak-menembak di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi maut akibat terkena dua das tembakan di bahagian dada dan perut.

Manakala rakannya, Koperal Norihan Tari, 39, pula cedera parah akibat kesan tempakan pada bahagian kanan perutnya.

Sebelum itu, kedua-dua anggota PGA yang bersenjatakan pistol Walther P99 sempat melepaskan kira-kira 10 das tembakan terhadap sekumpulan 13 orang penyeludup ketum dan ubat batuk dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3 pagi tadi.

Tiga daripada penyeludup itu juga mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Hatyai. Kesemua penyeludup terbabit serta seorang rakannya mereka kini berada di dalam tahanan pasukan keselamatan Thailand yang turut membantu di dalam siasatan kejadian itu selepas mendapat maklumat daripada Malaysia.

Sempdan
Pasukan keselamatan negara sedang melakukan rondaan di kawasan sempadan. (foto internet)

Dua daripada penyeludup pula berjaya ditahan oleh anggota VAT69 dalam satu operasi “sweeping” yang dilakukan sejurus selepas insiden tembak-menembak itu berlaku.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, sebelum kejadian dua anggota PGA terbabit sedang melakukan rondaan pada jarak kira-kira 600 meter dari tembok sempadan sebelum bertembung kumpulan penyeludup.

Walther
Pistol Walther P99.

Katanya, dua anggota terbabit kemudian bertindak melakukan serbuan di lorong tikus lokasi kumpulan penyeludup berkumpul menyebabkan berlaku kejadian berbalas tembakan.

“Dalam serbuan itu, Koperal Baharuddin bertindak berani apabila berjaya mencederakan penyeludup, namun malangnya dia sendiri terkena tembakan dan meninggal dunia di lokasi.

“Koperal Norihan yang turut cedera bagaimanapun, sempat keluar dan berusaha mendapatkan bantuan anggota PGA lain di Pos 9 sebelum mereka bertindak memburu penyeludup,” katanya pada sidang media di Perlis hari ini.

Sempadan
Salah seorang penyeludup ketum (berbalut tangan) yang terlibat dalam insiden tembak-menembak sedang disoalsiasat oleh polis Thailand di lokasi kejadian. (foto media Thailand)

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador turut berada di Perlis hari ini dan meninjau kawasan lokasi insiden.

Menurutnya, keadaan keselamatan di kawasan sempadan pada ketika ini masih terkawal.

Operasi susulan yang dijalankan oleh pasukan keselamatan negara kemudiannya menemui kira-kira 500 kilogram ketum dan sejumlah ubat batuk yang ditinggalkan oleh kumpulan penyeludup itu.

thailand
Salah seorang penyeludup ketum yang ditahan oleh pasukan VAT69 sejurus selepas kejadian tembakan di sempadan. (foto media sosial)

Sementara itu, Surina juga berkata, usaha memburu tujuh lagi penyeludup sedang dilakukan pasukan keselamatan Malaysia bersama pihak berkuasa Thailand.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...